KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan menyemak semula proses pendaftaran kad SIM (simcard) prabayar sama ada untuk warganegara mahupun warga asing dengan meletakkan digital identiti sebagai mandatori.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ia bagi memastikan jenayah siber yang semakin meruncing dapat ditangani.
Menurut beliau, pendaftaran `digital identiti’ itu dapat menggantikan penggunaan identiti fizikal seperti salinan kad pengenalan atau pasport yang mudah dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk melakukan jenayah online.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa penjualan kad SIM prabayar di semua saluran e-dagang yang tiada punca kuasa kawalan oleh pihak kerajaan khususnya badan penguat kuasa dihentikan segera.
Sebaliknya, jelas Siraj, saluran jualan kad sim perlu dibuat secara setempat atau berpusat manakala semua ejen jualan kad SIM perlu melalui tapisan yang ketat.
“Kita memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mewujudkan forum khas bagi membincangkan isu penjualan simkad ini bersama pemegang taruh dan penggerak komuniti agar isu yang sekian lama berakar ini dapat dihapuskan sama sekali.
“Banyak model penjualan dan pendaftaran simkad prabayar yang dapat dicontohi negara kita bagi menutup ruang dan peluang penjenayah siber bergerak bebas dengan simcard beridentiti palsu ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Siraj, jenayah siber tidak terhad kepada isu scam sebaliknya merentasi soal ekonomi, sosial bahkan keselamatan awam dan negara.
Katanya, kesan domino daripada jenayah siber itu merugikan semua pihak khususnya pengguna, yang mana nilai kerugian scam pada 2024 sahaja melebihi RM1.5 bilion dengan angka kerugian terus meningkat disebabkan evolusi jenayah siber kini didasari teknologi kecerdasan buatan (AI).
Isu lain yang juga meruncing, tambah beliau, termasuklah aktiviti cybertrooping yang menggunakan identiti palsu kad SIM bagi mewujudkan identiti palsu media sosial dan menyebar ‘berita palsu’ bagi menggugat ketenteraman awam dengan membentuk pelbagai naratif.
Tidak terkecuali, ujarnya, aktiviti penggodam yang turut mengguna pakai kad SIM untuk menerobos rangkaian sistem maklumat dengan bebas tanpa perlu risau identiti sebenar dikesan.
“Masyarakat perlu cakna selain dari wifi di dalam premis, simcard merupakan pemula kepasa identiti pengguna untuk masuk ke dunia siber.
“Tidak lengkap kalau kerajaan berkempen internet selamat tetapi membiarkan “punca jenayah siber” kekal terbiar tanpa tindakan drastik,” katanya. – MalaysiaGazette
















