KENYATAAN media Amanah berhubung kekejaman rejim Zionis di Palestin.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru seluruh negara umat Islam khususnya negara-negara Arab Teluk dan negara Islam dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), bangkit dengan keberanian dan kesatuan menentang kekejaman berterusan rejim Zionis.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara-negara itu tidak boleh hanya membiarkan segelintir pihak seperti Iran dan Yaman menanggung beban perjuangan menentang Israel.

Menurut beliau, adalah amat mengecewakan apabila masih ada negara-negara Arab Teluk dan negara Islam dalam NATO yang terus menjalin hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel.

Bahkan negara-negara itu turut menjadi laluan transit serta pembekal keperluan yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Zionis.

Ironinya, tambah beliau, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman tetapi gagal bersatu untuk berdepan dengan Israel yang didukung oleh kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Hakikatnya, kita kini berhutang budi kepada rakyat Eropah dan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia yang lebih lantang membela hak asasi rakyat Palestin berbanding sebahagian negara Islam yang hanya mengecam di pentas antarabangsa tetapi masih menjalin hubungan akrab dengan Zionis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, Amanah memandang serius kekejaman berterusan rejim Zionis yang kini semakin rakus melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Menurut beliau, serangan kejam yang menyasarkan hospital, masjid, gereja dan orang awam yang sekadar mahu mendapatkan bantuan makanan jelas membuktikan sifat kebinatangan Zionis yang tidak lagi mengenal peri kemanusiaan.

“Al-Quran telah lama mengingatkan tentang sifat pengkhianatan Zionis yang tidak pernah setia dengan perjanjian.

“Namun persoalan yang harus kita renungkan ialah di manakah kedudukan umat Islam sendiri dalam menghadapi kezaliman ini?” katanya.

Tambah beliau, Amanah akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, bersama suara kebenaran dan bersama seluruh bangsa yang menentang kezaliman. “Inilah tuntutan agama dan inilah tuntutan kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast