KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan sistem pemberian subsidi menerusi MyKad benar-benar bersedia dan berfungsi lancar sekiranya ia akan digunakan dalam mekanisme penyaluran subsidi petrol RON95 hujung bulan ini.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, perkara itu mengambil kira situasi ketika ini melibatkan penyaluran Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mana terdapat laporan sistem tersebut tergendala sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.
Jelas beliau, sistem sistem MyKad sebagai medium agihan subsidi bukan sekadar ujian teknikal, sebaliknya menyentuh soal kebajikan jutaan rakyat.
Sehubungan itu kemampuan sistem tersebut perlu ditingkatkan, bukan sahaja dari segi kecekapan, tetapi juga ketahanan terhadap gangguan, ketirisan dan penyalahgunaan.
“Jika sistem gagal, ia bukan sekadar isu teknikal. Ia akan mencetuskan persepsi amat negatif terhadap kecekapan dan tahap kesiapsiagaan urus tadbir Kerajaan Madani.
“Rakyat akan mula persoalkan adakah kerajaan benar-benar bersedia? Mengapa sistem asas seperti ini pun gagal dikendalikan?
“Ke mana perginya janji digitalisasi dan reformasi?” katanya menerusi laman sosial beliau hari ini.
Tambah Azizi, dalam era kini yang mana kepercayaan rakyat amat rapuh, satu kegagalan sistem boleh memberi kesan domino kepada keyakinan terhadap seluruh pentadbiran.
Sehubungan itu, katanya, soal pelaksanaan sistem itu tidak boleh diambil ringan, sebaliknya kerajaan perlu membuat persiapan rapi dan dipastikan telus.
“Jika pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan bergantung pada sistem seperti MyKad, maka sistem itu mesti tahan uji. Bukan sekadar berfungsi, tapi cekap dan mesra rakyat.
“Kita tak mahu lagi dengar alasan ‘sistem tergendala’ atau server overload bila rakyat sedang beratur nak isi minyak.
“Kerajaan Madani perlu pastikan teknologi seiring dengan keperluan sebenar,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan dan MyKasih memohon maaf susulan isu gangguan sistem terminal yang mengalami kelewatan memproses transaksi pembelian pengguna SARA.
Sejak kelmarin, orang ramai mula menebus bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 yang dikreditkan secara terus ke dalam MyKad mereka di pasar raya terpilih seluruh negara. – MalaysiaGazette
















