Masih ada gangguan sistem MyKasih di pasar raya di Kuantan

 

KUANTAN – Beberapa penerima Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)  kecewa kerana masih belum berpeluang menebus bantuan RM100 yang dikreditkan dalam MyKad bermula 31 Ogos lepas.

Mereka gagal membeli barangan keperluan kerana kebanyakan kedai dan pasar raya  masih mengalami gangguan sistem.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa premis di sekitar bandar ini hari ini mendapati kebanyakan pasar raya dipenuhi orang ramai yang beratur panjang di kaunter.

Seorang pelajar, Syaherah Azmi, 23, berkata, dia belum dapat menggunakan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kerana pasar raya yang dikunjungi mengalami gangguan sistem

“Mujur saya tak beli banyak barang. “Jadi saya teruskan bayar tunai macam biasa. Mungkin lepas ni cuba lagi sebab tak perlu tergesa-gesa kan. Banyak masa lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Syaherah Azmi

 

MalaysiaGazette difahamkan gangguan sistem pada hari ini dipercayai bermula sejak 9 pagi tadi sehingga kira-kira jam 2 petang.

Namun, pasar raya yang mengalami masalah itu meletakkan papan tanda notis gangguan sebagai langkah awal kepada pelanggan.

Difahamlan gangguan sistem mungkin berlarutan sehingga jam 9 malam.

Seorang lagi pengguna, Syuhada Mohd, 34, tidak menolak gangguan sistem berkemungkinan terlalu ramai pembeli yang mahu menebus bantuan SARA.

“Semalam penuh pasar raya ni. Beratur panjang nak membeli barang. Mungkin sebab orang ramai membeli untuk tebus SARA.

“Tapi, tak mengapa sebab saya belum ada rasa nak guna bantuan tu. Lagipun, belum berkesempatan. Tak rushing lagi. Biar dulu lah,” katanya.

Syuhada Mohd

 

Pendapat sama turut dikongsi Farizul Hafiz Awang, 35 yang mahu menunggu sehingga keadaan sesuai bagi menebus bantuan SARA yang diterimanya.

Jelasnya, wang RM100 bantuan SARA itu akan digunakannya sewaktu keadaan mendesak atau selepas sistem MyKasih betul-betul stabil agar tidak perlu beratur panjang untuk membuat pembelian.

“Bukan tak mahu tebus sekarang, tapi apabila kita tengok orang ramai beratur panjang serentak untuk guna SARA atau bantuan lain tu, kita jadi tak seronok membeli.

“Tambahan pula, sistem MyKasih tu kadang-kadang boleh guna, kadang-kadang tak boleh, jadi terganggu sikit lah proses pembayaran.

“Kalau nak beli barang dapur sikit-sikit, bagi saya, tak perlu guna lagi SARA tu. Boleh ke kedai runcit dekat kawasan rumah sahaja,” ulasnya.

Farizul Hafiz Awang

 

Setakat jam 9.30 malam semalam, rakyat Malaysia telah melakukan lebih 900,000 transaksi SARA dan penyaluran SARA bulanan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM60 juta di seluruh negara.

Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima sudah berbelanja dalam tempoh dua hari, dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sara yang bermula 31 Ogos sehingga 31 Disember. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast