Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) harus menyediakan program besar-besaran yang menggabungkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) moden dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI); automasi ladang; dron; internet pelbagai benda (IoT) dan sistem pertanian pintar.

Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, ia bagi membolehkan sektor pertanian diposisikan semula sebagai kerjaya berteknologi tinggi, bukan lagi kerja berat dengan pulangan rendah.

Selain itu, menurutnya, RMK13 juga perlu mampu mewujudkan ekosistem digital yang mana petani boleh menjual terus hasil tanaman kepada pengguna tanpa orang tengah.

Jelas beliau, model itu bukan sahaja mengurangkan kos barangan segar di pasaran, malah membuka peluang pekerjaan baharu dalam agro logistik, dengan generasi muda yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing boleh dilatih semula sebagai operator agro logistik.

“RMK13 tidak boleh sekadar mengulangi retorik mengenai keterjaminan makanan. Ia mesti diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, berani dan menyeluruh melibatkan anak muda serta pemanfaatan teknologi baharu.

“Realitinya, majoriti petani hari ini berusia lebih 50 tahun, tanpa pelapis generasi muda, kita berdepan krisis tenaga kerja pertanian dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Sivaraj turut mencadangkan tanah terbiar termasuk tanah kerajaan negeri, tanah wakaf dan tanah estet dimanfaatkan dalam memastikan kelangsungan keterjaminan makanan negara.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan satu pelan induk yang menyatukan data pertanian, teknologi pintar, pelaburan hijau dan agropreneur muda dalam satu ekosistem diwujudkan.

“Dengan strategi konsisten, Malaysia berpotensi bergerak daripada negara net importer kepada net exporter makanan dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia tidak lagi boleh terus bergantung kepada status quo dalam sektor pertanian ketika negara-negara jiran lebih berani meneroka tanaman baharu seperti quinoa, avocado dan bijirin ternakan.

Sehubungan itu Malaysia juga harus melangkah lebih jauh, menjadi peneraju dalam tanaman bernilai tinggi untuk pasaran domestik dan eksport.

“Isu keterjaminan makanan bukan lagi pilihan tetapi soal survival negara.

“RMK13 mesti menjadi pemacu transformasi agar Malaysia benar-benar berdiri sebagai negara berdaya tahan, berdaya saing dan berdaulat dalam sektor makanan,” katanya. – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast