Faisal Halim dan Nur Syazwani Mizuana Shahril. - Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril mengesahkan desas-desus telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya hari ini.

Menerusi laman sosial Instagramnya, Nur Syazwani Mizuana berkata, apa yang dilakukannya hari ini adalah berdasarkan apa yang dilalui dan kehidupannya sendiri.

Lebih mengejutkan, dia turut mendedahkan ini bukan kali pertama mereka bercerai, sebaliknya dia pernah diceraikan sebelum ini.

“Tindakan saya hari ini berdasarkan apa yang saya lalui dan kehidupan saya sendiri. Saya yang lebih tahu kehidupan saya.

“Saya telah berkorban seluruh jiwa saya untuk keluarga saya, dari susah sehingga berjaya, dari tidak dikenali kepada seorang yang dipuja, dari sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik. Bukan mudah untuk saya. Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini,” katanya.

TANGKAP layar `IG story’ Nur Syazwani Mizuana.

Tambah Nur Syazwani Mizuana, dia cuba untuk mempertahankan perkahwinannya, namun terlalu banyak campur tangan dan onak dalam kehidupannya.

Malah, dia mengakui keputusan yang diambil hari ini bukan sesuatu yang senang untuk dibuat.

Katanya, dia juga telah berusaha mempertahankan perkahwinan mereka, namun pasrah dan beranggapan ini mungkin jalan yang terbaik untuknya.

“Ibu saya disuruh untuk mengambil saya, saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia,” katanya.

Terdahulu, pelbagai platform media online hari ini melaporkan desas-desus Nur Syazwani Mizuana didakwa telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.

Pasangan berkenaan melangsungkan perkahwinan pada Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Pada Mei tahun lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Sementara itu, Faisal sehingga kini belum membuat sebarang kenyataan, namun difahamkan bintang Selangor FC berkenaan sudah memadamkan gambar Nur Syazwani Mizuana di akaun media sosialnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast