Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Syariah Batu Pahat hari ini kerana terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang.

BATU PAHAT – Mahkamah Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 terhadap tiga individu selepas mengaku bersalah terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang pada 10 dan 11 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Suhail Suttrysono, 35, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan serta dua mekanik, Azman Mohamer Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Syazwan Mohd Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Suhail melakukan upacara bertentangan hukum syarak manakala Azman dan Anuar didakwa bersubahat dengan memainkan alat muzik bagi tujuan sama.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan lapang hadapan sebuah rumah, Jalan Pasar, Parit Raja antara pukul 10 malam hingga 1 pagi pada 10 dan 11 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 iaitu kesalahan berhubung aqidah: pemujaan salah, serta Seksyen 43(b) enakmen sama kerana persubahatannya.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Ummu Salamah Sukayat.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 dan sekiranya gagal bayar denda, hukuman penjara ditambah 14 hari.

Mereka turut dikenakan pemantauan Jabatan Agama Islam Johor selama enam bulan selepas tempoh penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Daerah Batu Pahat, Ummu Salamah Sukayat.

Sebelum itu, tular sebuah video berdurasi satu minit memaparkan ritual dipercayai berkaitan tarian kuda kepang yang dikaitkan dengan amalan syirik di daerah itu.

Rakaman tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul sambil diiringi paluan gong serta alunan muzik, selain kelihatan dua lelaki seperti mengalami kerasukan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast