BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menangguhkan pertuduhan ke atas seorang lelaki etnik Rohingya yang didakwa membunuh kekasihnya pada bulan lalu bagi urusan pelantikan jurubahasa.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit memutuskan demikian selepas tertuduh, Abdul Kader Abdu Rahman, 52, mendakwa tidak memahami pertuduhan dalam bahasa Melayu.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Memgikut pertuduhan lelaki yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu didakwa membunuh seorang wanita warga Myanmar, Ah Me pada Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















