KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Seorang pengurus syarikat warga Bangladesh didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0).
Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Uzzal Miah, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan. Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, hukuman penjara selama lima bulan boleh dikenakan. Tertuduh telah membayar denda tersebut.
Mohammad Uzzal didakwa menggunakan surat penganugerahan (Letter of Award) sebuah syarikat reka bentuk dalaman bagi projek cadangan tambahan dan ubah suai dalaman pusat perubatan swasta di Lot 5781, 5782, 5783 dan 5784, Pusat Bandar Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, bertarikh 13 Jun 2023, yang diketahui tertuduh sebagai palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan JIM di Putrajaya pada 23 November 2023, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan Pengurus Syarikat SSA Fariatec International Sdn Bhd telah mengarahkan keraninya menyediakan surat penganugerahan syarikat reka bentuk itu sebagai dokumen sokongan untuk permohonan program RTK 2.0.
Pada 23 November 2023, tertuduh bersama keraninya dan seorang lelaki hadir di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya untuk menyerahkan dokumen berkaitan program RTK 2.0. Pihak JIM mengesahkan bahawa surat penganugerahan daripada syarikat reka bentuk itu dilampirkan sebagai dokumen sokongan.
Tujuan pemalsuan surat adalah untuk mendapatkan kelulusan permohonan RTK 2.0 bagi 11 pekerja warga asing syarikat SSA Fariatec International.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh menggunakan dokumen palsu bagi tujuan penipuan.
“Sekiranya mahkamah mengenakan hukuman denda, saya cadangkan RM25,000,” katanya.
“Selama 16 tahun berada di negara ini, ini kali pertama tertuduh disabitkan kesalahan. Tempoh reman selama tujuh hari juga ibarat hukuman awal,” katanya. – Bernama
















