Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama sebahagian anggota PALAPES Laut Universiti Awam (UA), selepas Majlis Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan yang berlansung di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 SEPTEMBER 2025

SERDANG – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keputusan bedah siasat kedua akan menjadi penentu punca sebenar kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin.

Beliau berkata, laporan penuh itu penting bagi menjawab segala persoalan kerana siasatan awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya melibatkan jurulatih dan kadet manakala proses bedah siasat dijalankan sepenuhnya oleh pihak hospital.

“Saya percaya apabila keputusan hasil siasatan atau bedah siasat akan memberitahu apa punca sebenarnya dan akan menunjukkan bahawa tiada kaitan langsung dengan program latihan PALAPES ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat daripada hospital dan mengumpul apa sahaja hasil siasatan berkait kes terbabit.

Justeru itu, beliau meminta semua pihak beri ruang untuk menjalankan siasatan dengan baik berhubung kes kematian pelatih Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada 28 Julai lalu.

Dalam pada itu, Khaled berkata, allahyarham merupakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyertai latihan PALAPES pada 28 Julai lalu dengan berulang-alik dari universiti dan tidak menetap di kem tentera.

“Kita kena faham, kena tengok fakta kes. PALAPES itu datang dari UTM, program latihan itu pada 28 Julai dia tidak duduk di kem, dia berulang-alik dari universiti. Jadi tidak ada sentuhan fizikal oleh jurulatih angkatan tentera kerana dia ulang-alik dari universiti,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, insiden berlaku ketika sesi latihan di padang terbuka sebelum allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri lalu dibawa segera ke hospital.

“Pada masa dia meninggal pun di hadapan khalayak ramai. Sebab itu jumlah yang disoal lebih daripada 30 orang kerana latihan itu di padang terbuka. Kalau katalah berlaku ada kekasaran luar biasa tentu pelajar ramai-ramai itu akan ambil gambar tetapi tiada,” ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, jawatankuasa siasatan ATM yang ditubuhkan pada 29 Ogos lalu hanya menumpukan soal siasat dengan jurulatih dan kadet kerana jenazah telah dibawa ke hospital sebaik insiden berlaku.

“Maknanya apabila dilakukan siasatan, tubuh individu itu sudah dibawa ke hospital. Keesokan harinya jenazah sudah tiada. Jadi soal siasatan ATM lebih kepada jurulatih dan kadet yang ada,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, jenazah allahyarham digali semula dan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Kuala Lumpur bagi proses bedah siasat kedua.

Proses autopsi dijalankan tiga pakar IPFN bermula kira-kira 9 pagi Sabtu lalu dan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih pukul 6.09 petang.

Pada 19 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast