KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, cadangan tersebut disasarkan untuk merancakkan agenda Malaysia MADANI serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
“Belanjawan 2026 perlu menjadi belanjawan yang bersifat people-centric dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan infrastruktur awam, keindahan kawasan persekitaran, menyediakan ruang perniagaan yang kondusif kepada peniaga kecil serta membantu rakyat memiliki rumah pertama mereka dengan lebih mudah dan pada kadar mampu milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Kementerian Kewangan di sini pagi tadi.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Aiman Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M. Nor Azman Taib; Ketua Perbendaharaan Negara, Datuk Johan Merican serta Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Seri Abdul Rahim bersama beberapa pegawai kanan kementerian.
Antara 13 inisiatif utama yang dikemukakan oleh KPKT termasuk Kesejahteraan MADANI iaitu permohonan peruntukan RM1 bilion untuk melaksanakan 10,000 projek kemudahan asas sepanjang 2026 seperti Taman MADANI, pasar awam, dewan orang ramai, sistem perparitan serta lampu jalan solar.
Turut dicadangkan Rumah Kasih MADANI iaitu permohonan RM200 juta bagi membaik pulih dan membina semula 10,000 rumah usang untuk membantu keluarga miskin bandar.
“Kempen Pemilikan Rumah MADANI (HOC 3.0) iaitu pakej insentif cukai dan bukan cukai bagi menggalakkan pemilikan rumah serta merancakkan sektor hartanah.
“MyKiosk 3.0 iaitu peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf MyKiosk menjadi ruang niaga moden serta tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Madani Harmoni iaitu RM100 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam di kawasan Parlimen berbilang kaum dan Pembangunan Kampung Baru Cina dan Kampung India dengan RM150 juta bagi infrastruktur, promosi produk tempatan, pelancongan warisan dan pengindahan kampung,” katanya.
Perkara lain yang turut dicadangkan kata Kor Ming, Reformasi Pembersihan Awam dan Ekonomi Kitaran iaitu pemodenan perkhidmatan pembersihan awam menerusi teknologi baharu dan model ekonomi kitaran.
Turut menjadi cadangan iaitu pemerkasaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), penambahbaikan infrastruktur balai bomba, kuarters serta pengiktirafan terhadap 367 pasukan bomba sukarela di seluruh negara.
Kor Ming turut menjelaskan, kesemua inisiatif yang dicadangkan itu dijangka memberi manfaat kepada jutaan rakyat dan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun hadapan.
“Kita mahu manfaat ini dapat dirasai secepat mungkin dan memastikan keberhasilan yang jelas dalam pelaksanaan setiap inisiatif,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















