KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, Bandar Baru Sri Petaling, di sini bersama kira-kira 1,000 jemaah.
Beliau tiba pada pukul 1.10 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna ungu lengkap bersongkok.
Ketibaan Perdana Menteri disambut mesra oleh pengurusan masjid serta para jemaah yang hadir lebih awal.
Anwar hadir ke masjid itu sempena program Temu Mesra Madani anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Selepas solat Jumaat, Anwar menyampaikan tausiyah (nasihat) yang menyentuh mengenai sambutan Maulidur Rasul serta perkara-perkara berkaitan hal ehwal negara.
Dalam khutbah bertajuk ‘Pemimpin dan Ulama Pemacu Ummah’, jemaah diingatkan supaya mentaati pemimpin berlandaskan syariat Islam dalam mewujudkan keamanan dan kestabilan di negara ini. – MalaysiaGazette
















