Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Bagi mengaburi majikan selepas wang syarikat dijoli berjudi, seorang pemandu lori sanggup menikam dirinya sendiri serta mendakwa disamun dalam kejadian di Persiaran Minden, Gelugor di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam, lelaki berusia 32 tahun itu mendakwa disamun tiga lelaki sebelum melarikan wang kutipan harian syarikatnya RM3,000 ketika dia dalam perjalanan pulang kerja.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan polis mendapati lelaki itu mendakwa dirinya disamun susulan wang tersebut sudah digunakannya.

“Berdasarkan maklumat, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori ditemui dalam keadaan berlumuran darah selain terdapat kesan tikaman pada bahagian perut sedalam 3.5 sentimeter kononnya akibat disamun.

“Bagaimanapun hasil siasatan kita dapati keterangannya tidak konsisten sebelum dia mengaku menipu disamun sedangkan wang syarikat itu telah digunakan untuk tujuan peribadi.

Tompokan darah turut dikesan pada tempat duduk pemandu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan,” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, majikan mangsa, Kelvin Lim, 35, berkata, pekerjanya itu baru tiga bulan berkhidmat sebagai pemandu lori penghantar makanan laut sejuk beku namun sebelum ini sudah beberapa kali terlibat dalam kes kehilangan wang syarikat.

“Kali pertama, dia memaklumkan duit yang dibayar pelanggan makanan sejuk beku hilang dan saya anggap ia mungkin kecuaian.

“Tetapi kali kedua dan ketiga, dia mengaku guna wang itu untuk membayar hutang rakannya.

“Cuma hari ini (semalam) saya terkejut apabila dia menelefon saya memaklumkan dirinya ditikam dua individu sebelum mereka melarikan wang syarikat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Kelvin, salah seorang pekerjanya antara individu terawal tiba di lokasi kejadian sebelum mendapati terdapat sebilah pisau dalam keadaan tertusuk pada bahagian kanan perut lelaki tersebut.

“Susulan itu lelaki berkenaan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan pihak polis juga berada di lokasi untuk menjalankan siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast