Shahrizal mendakwa lembu miliknya yang dirampas MBPP tidak berkeliaran seperti didakwa pihak tersebut.

GEORGE TOWN – Seorang penternak lembu meluahkan rasa kecewa selepas ternakan miliknya dirampas pihak berkuasa dengan alasan haiwan tersebut berkeliaran di Desiran Tanjung, Tanjung Tokong di sini.

Shahrizal Ahmad, 35, berkata, tindakan itu memberi kesan  terhadap sumber pendapatannya, lebih-lebih lagi penternakan tersebut telah diusahakan sejak sebelum negara merdeka oleh datuk dan ayahnya sebelum diwarisi generasi kini.

Dakwa lelaki tersebut, dua ekor lembu yang dirampas tidak sama dengan gambar ditunjukkan pihak berkuasa sebaliknya adalah lembu yang berada dalam tambatan.

“Saya juga telah beberapa kali menghantar surat kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun hanya dimaklumkan ternakan itu bakal dilelong tanpa penjelasan lanjut berhubung proses sebenar.

“Saya juga ada hubungi salah seorang Exco kerajaan negeri pada Selasa lalu dan terbaru hari ini tetapi tiada sebarang maklum balas lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sehubungan itu, Shahrizal memohon pertimbangan MBPP dan pihak berkaitan agar nasib penternak Melayu di Pulau Pinang diberi perhatian memandangkan dia tidak mempunyai tapak khusus dan hanya bergantung kepada belas ihsan pemaju di kawasan tersebut yang kini giat dibangunkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast