KUALA LUMPUR – Sambutan Maulidur Rasul 1447H hari ini menyaksikan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dianugerahkan Tokoh Perdana Maulidur Rasul 1447.
Pengasas kepada Kumpulan RHB bank itu dipilih berdasarkan sumbangan besar beliau dalam usaha memperkukuh institusi kewangan Islam, khususnya Tabung Haji, serta khidmat bakti kepada masyarakat menerusi pelbagai peranan akademik dan kemasyarakatan.
“Saya hanya melakukan apa yang saya harus lakukan atas apa yang saya percaya,” katanya ketika ditemui selepas menerima pengiktirafan itu daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Abdul Rashid menegaskan segala usaha yang dilakukan adalah bersandarkan keyakinannya sebagai seorang Muslim yang sentiasa berpegang kepada nilai memberi kembali kepada masyarakat.
“Saya percaya kepada kerja keras saya dan saya berikan kembali kepada masyarakat dan terutamanya kepada kepercayaan saya, iaitu saya seorang Muslim dan seorang Muslim yang percaya dan beramal.
“Saya harap saya memberikan contoh yang baik bahawa anda harus sentiasa memberikan kembali kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas penglibatannya di pelbagai institusi, Abdul Rashid berkata, beliau tidak lagi berminat untuk kembali ke dunia korporat selepas menamatkan kerjayanya sebelum ini.
“Saya telah menutup banyak pintu untuk kembali ke sektor itu. Saya memilih untuk tidak melakukannya.
“Tetapi apabila ia untuk Islam dan agama saya, seperti Tabung Haji dan UIA, saya bersedia untuk mengambil peranan tersebut untuk memperbaiki institusi yang dekat dengan sistem percaya saya,” jelasnya.
Beliau kini turut menyumbang kepakaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pakar rujuk dalam bidang tertentu, selain aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Pencipta kandungan digital dan usahawan, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali Khairul Aming pula berkata, dia terkejut apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima anugerah pada sambutan Maulidur Rasul 1447H hari ini.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan sambutan hari ini dan penghargaan yang diberikan. Saya rasa sangat terkejut bila mendapat maklumat menjadi salah seorang penerima anugerah,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, beliau menzahirkan penghargaan khusus kepada golongan usahawan kecil.
“Bagi kategori usahawan itu saya dedikasikan kepada semua usahawan di luar sana, terutamanya peniaga kecil yang baru bermula meniaga tengah panas dan hujan.
“Itu semua sebahagian daripada usaha mereka mencari rezeki yang halal dan anugerah ini saya tujukan kepada mereka. Yang penting sama kita jaga keberkatan perniagaan kita, halal dan jaga hubungan sesama Islam,” ujarnya.
Pempengaruh media sosial itu menerima Anugerah Usahawan/Teknokrat Berjaya Maulidur Rasul 1447H.

Dalam pada itu, pelakon Angeline Tan menzahirkan rasa syukur dan terharu selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) Maulidur Rasul 1447H.
Katanya, perjalanan sebagai saudara baru Islam menjadikan azam untuk beliau menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat bukan Islam.
“Saya rasa syukur dan sangat terharu dan tidak percaya dapat anugerah besar dan bermakna. Sejak saya masuk Islam, saya tekad nak sebarkan erti Islam yang betul kepada bukan Islam,” katanya.
Isteri kepada pelakon popular, Sabri Yunus itu berkata, misinya sekarang adalah bagi memastikan masyarakat bukan Islam memahami ajaran Islam agar tidak timbul salah faham.
“Ia supaya semua faham maksud sebenar Islam dan jangan salah faham. Bila mereka tidak salah faham, negara akan aman damai. Mungkin satu hari nanti mereka akan jadi seperti saya,” jelasnya.
Menurut Angeline, pengiktirafan itu memberikan semangat baharu buat dirinya dan merupakan hadiah untuk keluarganya.
“Anugerah ini bukan untuk saya seorang, untuk suami dan keluarga saya sebab kalau bukan kerana suami, saya tidak akan dapat menikmati Islam,” ujarnya.

Penerima lain adalah CEO Wau Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin yang menerima Anugerah Pengkarya/Inovator Kreatif; Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak, Dayang Maisarrah Abang Abdul Razak (Anugerah Belia Harapan Maulidur Rasul 1447H); Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Malaysia, Ismail Abdul Ghani (Anugerah Wira Negara Maulidur Rasul 1447H), dan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang menerima Anugerah Agamawan/Kepimpinan Dakwah Maulidur Rasul 1447H. – MalaysiaGazette
















