Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap pada perasmian Sayap-Sayap Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 6 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 120 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkumpul dalam pertemuan khas yang bertujuan menenangkan kebimbangan akar umbi menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti .

Penganjur pertemuan, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perjumpaan itu diadakan kerana beliau memahami keresahan dalam kalangan ketua bahagian yang mahu memastikan perhimpunan berjalan lancar susulan suasana tegang yang dikaitkan dengan parti itu ketika ini.

“Saya sangat sedar perasaan dalam parti, terutama di kalangan ketua bahagian.

“Itu sebab kita berkumpul, untuk mententeramkan keadaan dan pastikan tidak berlaku perkara yang tidak sepatutnya dalam perhimpunan nanti,” katanya yang juga Ketua Bahagian Bangi merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Mohd Fadhli Ismail memberitahu, pertemuan tersebut tidak pernah berniat mencabar kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti.

“Kita menghormati Tan Sri sebagai presiden. Isu nak jatuhkan atau tolak beliau tidak timbul. Hari ini kita hanya mahu suara ketua bahagian didengari, itu sahaja,” ujarnya.

Kehadiran lebih 120 ketua-ketua bahagian menjadi isyarat jelas bahawa akar umbi bersatu menolak politik adu domba yang cuba disemai menerusi surat layang, sebaliknya mereka mahukan perubahan besar untuk mengukuhkan imej dan kedudukan parti.

Dalam pertemuan ringkas itu, Hamzah menyata bahawa beliau tidak mahu budaya PKR dibawa masuk dalam Bersatu.

Sebelum ini, tersebar surat layang di dalam kumpulan aplikasi whatsapp yang memburuk-burukkan nama Hamzah.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan semua pihak perlu berhati-hati daripada membuat kesimpulan tanpa bukti kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast