PASIR GUDANG – Jurang yang amat ketara antara kerajaan dan rakyat termasuk dari segi ekonomi dan sosial berpotensi mencetuskan konflik sekiranya tidak ditangani dengan bijak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apa yang berlaku di Indonesia ketika ini perlu dijadikan satu pengajaran agar keadaan sama tidak terjadi di Malaysia.
Beliau menegaskan, kesenjangan atau ketempangan ekonomi mampu menimbulkan rasa tidak puas hati yang akhirnya menjejaskan keharmonian negara.
Justeru katanya, pemimpin di semua peringkat harus sentiasa menjaga hubungan baik dengan rakyat serta memastikan keperluan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
“Apabila jurang terlalu besar, ia bukan sahaja menimbulkan ketidakadilan, malah mampu menjadi pencetus konflik.
“Sebab itu, peranan kerajaan adalah memastikan pembangunan yang adil serta pengagihan kekayaan yang saksama dapat dirasai seluruh lapisan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyampaian Zakat Wakalah di Pasir Gudang di Dewan Terbuka Taman Air Biru di sini hari ini.
Khaled pada masa sama menyeru masyarakat agar terus memperkukuh semangat kebersamaan. selain mengelakkan perasaan terpinggir yang boleh merosakkan perpaduan nasional.
Menurutnya, kestabilan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan pertahanan ketenteraan, tetapi juga keseimbangan sosial dan ekonomi rakyat.
“Hubungan kerajaan dengan rakyat mesti rapat dan berasaskan kepercayaan. Jika itu dipelihara, negara akan terus kukuh dan terhindar daripada konflik dalaman,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















