KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menurunkan papan iklan bersaiz 30 kaki persegi x 120 kaki persegi tanpa lesen di KM 32.9, Lebuhraya Persekutuan pada jam 11.30 malam tadi.
Tindakan itu dibuat dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas syarikat pengiklanan ingkar untuk menurunkan papan iklan tersebut.
Menurutnya, MBPJ telah mengeluarkan Notis Arahan Penurunan Iklan Tanpa Lesen bertarikh 29 Ogos 2025 kepada pihak terbabit serta menyita sebuah genset yang digunakan sebagai sumber alternatif bekalan elektrik selepas bekalan asal dipotong oleh TNB dalam operasi terdahulu pada 25 Ogos 2025.
Notis tersebut turut mengarahkan agar iklan berkenaan diturunkan serta-merta bagi mengelakkan tindakan lanjut tetapi syarikat pengiklanan tersebut ingkar.
Justeru, MBPJ melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan menurunkan iklan secara serta-merta selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.
Di bawah peruntukan itu “tiada seorang pun boleh mempamerkan iklan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa melesen di bawah undang-undang kecil ini”.
Untuk rekod, MBPJ telah menerima permohonan lesen iklan daripada syarikat pengiklanan berkenaan pada 23 April 2025.
Namun, permohonan tersebut tidak lengkap kerana tiada disertakan dengan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan Permit Struktur sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak MBPJ.
MBPJ menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap paparan iklan di bandar raya ini mematuhi peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette















