Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa pada sesi sidang media Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh parti-parti komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, Amanah tidak mempunyai halangan dengan langkah yang diambil oleh rakan-rakan politik kerana keutamaan adalah memastikan pilihan raya ini memberi manfaat kepada rakyat.

“Amanah, secara khusus, kami menghormati apa-apa saja keputusan yang dibuat oleh parti komponen. Kita tidak ada apa-apa halangan dan lebih penting daripada itu, kita nak supaya pilihan raya negeri Sabah ini adalah tentang rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Semalam, BN dan UMNO Sabah memuktamadkan tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN17 Sabah.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, BN hanya bekerjasama dengan PH.

Mengulas lanjut, Mujahid menjelaskan, walaupun terdapat percanggahan kedudukan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang penting adalah mencari kata sepakat terbaik bagi memastikan gabungan itu berjaya menakluki Sabah.

“Kta sedia maklum BN bersama PH di Sabah. Tapi tidak bersama GRS. Sedangkan GRS bersama PH. Jadi, saya rasa bagi pihak kita, isunya ialah bagaimana kita mencapai rundingan yang terbaik.

“Kata sepakat yang terbaik dalam konteks nak bagi sebaik-baiknya peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan dan memastikan kestabilan politik,” ujarnya.

Mujahid turut mengumumkan sasaran Amanah untuk bertanding lima kerusi dalam PRN Sabah, namun jumlah itu masih di peringkat rundingan dengan parti-parti lain.

“Dalam rundingan-rundingan kita, sasaran kita lima kerusi. Sebagai parti yang kecil ini, kita sasaran lima kerusi. Tapi masih dalam peringkat perundingan” jelasnya.

Menurut beliau, perundingan melibatkan semua parti dalam PH, BN serta GRS kerana Amanah mahu mengelakkan pertembungan besar yang boleh merugikan semua pihak.

“Kita mungkin tak boleh elak pertandingan tiga atau empat penjuru, itu perkara biasa. Tetapi kita akan cuba memaksimumkan hasil perundingan untuk Amanah secara khusus. Sekurang-kurangnya, apa yang kita hajati itu tercapai,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil menjelaskan parti itu tekad untuk melakar kejutan dengan meraih kerusi sulung pada PRN Sabah tidak lama lagi dengan meletakkan calon di beberapa kerusi yang dikenal pasti.

Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata, parti itu sedang menilai nama-nama calon yang sesuai dan akan dimuktamadkan oleh Presiden nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast