Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa walaupun rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat terus meningkat, hakikatnya ia sebenarnya semakin lemah.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini BNM setakat 15 Ogos lalu, rizab antarabangsa berjumlah BNM adalah AS$122 bilion (kira-kira RM516 bilion), meningkat AS$700 juta berbanding 31 Julai yang mencatatkan AS$121.3 bilion (kira-kira RM513 bilion).

“Dari segi angka, saiz rizab antarabangsa kelihatan lebih banyak dan lebih tinggi, tetapi kekuatan sebenar telah melemah. Dengan kata lain, negara kita kini lebih mudah terdedah kepada kejutan luar.

“Keadaan ini bahkan lebih buruk berbanding zaman pentadbiran Najib yang pernah digelar sebagai kleptokrat oleh pemimpin Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun katanya, kemampuan negara untuk menampung keperluan luar kini sudah tidak sekuat dahulu, apabila rizab itu hanya mampu menampung 4.8 bulan keperluan import dan 0.9 kali hutang luar jangka pendek.

Sebagai perbandingan, pada 30 April 2018, rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$109.5 bilion (kira-kira RM442 bilion) mampu menampung 7.5 bulan keperluan import dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek.

Oleh yang demikian, Dominic berkata, fungsi utama rizab antarabangsa BNM adalah bagi perdagangan antarabangsa dan aktiviti kewangan termasuk membayar import, melunaskan hutang luar serta mengekalkan imbangan pembayaran negara.

“Persoalannya, adakah keadaan ini ada kaitan dengan peningkatan hutang luar negara yang tinggi? Kerajaan perlu memaklumkan perkara sebenar kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, rakyat juga tidak benar-benar memahami kegunaan rizab Bank Negara kerana angka yang tinggi kelihatan positif, tetapi ia harus dilihat daripada aspek kemampuan menghadapi tekanan luaran.

“Jika rizab bertambah tetapi kekuatan sebenarnya berkurang, itu menunjukkan ada masalah di sebaliknya,” katanya.

Dominic turut menambah, ramai rakyat tidak memahami kegunaan sebenar rizab Bank Negara.

Jelasnya, angka yang tinggi memang kelihatan positif, namun ia perlu dilihat daripada segi kemampuan rizab untuk menangani tekanan luaran.

“Jika rizab bertambah tetapi kekuatan sebenarnya berkurang, itu menunjukkan ada masalah di sebaliknya.

“Rizab terbahagi kepada dua jenis; rizab antarabangsa dan rizab berkanun bank perdagangan. Rizab antarabangsa merujuk kepada gabungan aset yang dipegang oleh Bank Negara seperti mata wang asing, emas, dan Hak Pengeluaran Khas (SDR) yang digunakan untuk mengimbangi imbangan pembayaran antarabangsa, mengekalkan kestabilan kadar pertukaran mata wang negara dan melakukan pembayaran antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast