KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Sabah tidak rela dihina dan tetap berpegang pada prinsip perjuangan biarpun terpaksa kehilangan kuasa sementara.
Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Salzo Asa berkata, keputusan BN Sabah menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan langkah tepat dan penuh keberanian.
“Maruah perjuangan tidak boleh digadaikan hanya demi beberapa kerusi kerana tawaran tidak adil terhadap BN bukanlah satu bentuk rundingan, sebaliknya suatu penghinaan terhadap jasa dan pengorbanan parti itu yang sekian lama berbakti kepada rakyat Sabah.
“Kami tidak sempurna, namun rekod membuktikan bahawa pembangunan sekolah, hospital, jalan raya serta peluang pendidikan adalah hasil kesungguhan pentadbiran BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, rakyat lebih mengenal kerja buat dan khidmat bakti BN berbanding retorik kosong sesetengah pihak yang hanya menumpang mandat hasil politik lompat.
“Kami tidak rela diperdaya oleh pihak yang mengkhianati mandat rakyat, sebaliknya memilih jalan bermaruah walaupun terpaksa berdepan risiko kehilangan kuasa.
“Prinsip perjuangan lebih utama daripada kuasa yang diperoleh melalui pengkhianatan. UMNO dan BN akan terus konsisten memperjuangkan rakyat Sabah, sama ada di desa mahupun di bandar.
“Walau dihina, walau disabotaj, walau ditikam, BN tetap akan teguh berdiri bersama rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette















