KUALA LUMPUR – Pasukan Uruguay memilih Malaysia sebagai tuan rumah bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Uzbekistan dan Republic Dominica bulan depan bagi persiapan Piala Dunia 2026.
Aksi menentang Uzbekistan disahkan oleh badan bola sepak negara itu menerusi pengumuman di laman media sosial miliknya di sini.
“Pasukan kebangsaan yang membuat persiapan untuk Piala Dunia akan bermain perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada 13 Oktober ini.
“Perlawanan itu akan berlangsung di Malaysia,” tulis FA Uzbekistan di Instagram miliknya.

Jun lalu, selepas gagal dalam tujuh percubaan, pasukan bola sepak kebangsaan Uzbekistan mencipta sejarah di benua Asia Tengah apabila layak ke Piala Dunia tahun depan.
Sebagai tanda penghargaan kerajaan, Presiden Mirziyoyev mengumumkan pemberian sebuah kereta kepada setiap pemain sebagai ganjaran atas pencapaian luar biasa itu.
Sementara itu, Uruguay yang dibimbing Marcelo Bielsa berjaya membimbing pasukan ketiga mara ke Piala Dunia selepas mengesahkan tiket ke kejohanan terbesar dunia di Amerika Utara tahun depan.
Juara bertahan, Argentina yang bakal menyaksikan Lionel Messi beraksi buat kali terakhir di laman sendiri dalam aksi kelayakan pada usia 38 tahun sudah pun layak bersama Brazil dan Ecuador.
Bagi Uruguay, pencapaian itu lebih manis buat Bielsa yang kini berusia 70 tahun.
Pasukan dari Amerika Selatan itu dibarisi oleh beberapa pemain berkelas dunia yang beraksi bersama kelab besar di Eropah.
Antaranya Federico Valverde (Real Madrid), Manuel Ugarte (Manchester United) dan Rodrigo Bentancur (Tottenham Hotspur) dan bekas bintang Liverpool, Darwin Nunez yang kini menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal. – Agensi
















