KUANTAN – Buat pertama kali dalam sejarah, seramai 4,210 pelajar di 38 buah Pusat Tingkatan Enam (PTE) di Pahang melalui proses pililihan raya dalam pemilihan Perwakilan Tingkatan Enam yang diadakan secara serentak seluruh negara hari ini.
Proses pengundian diselia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bermula 9.15 pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, melalui pengalaman sebenar itu, murid bukan sahaja memahami teori demokrasi malah dapat mengaplikasikan konsep pilihan raya, perwakilan dan tanggungjawab sebagai rakyat.

“Pelajar mengundi pemimpin-pemimpin mereka yang dicalonkan menerusi proses pilihan raya iaitu pencalonan, penyediaan manifesto dan kempen yang dibuat semasa aktiviti kokurikulum.
“Pemilihan ini tak berhenti di peringkat sekolah. Di setiap PTE nanti akan ada wakil-wakil akan dibawa ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing di mana mereka akan dipilih untuk dibawa ke peringkat negeri pula.
“Akan ada pemilihan pula di peringkat negeri oleh panel penilaian mencalonkan untuk ke peringkat kebangsaan. Akhirnya akan ada sekumpulan pelajar yang menjadi perwakilan pelajar tingkatan enam di peringkat kebangsaan dan proses itu adalah bertahap bermula di peringkat sekolah serentak di seluruh negara,” katanya.
Ahmad Zamri berkata demikian dalam sidang media sebelum meninjau proses membuang kertas undi di PTE Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana di sini hari ini.
Tambahnya, pengalaman ini bertujuan memberi pengalaman dan gambaran proses pilihan raya yang sebenar kepada para pengundi muda sejajar dengan teori yang dipelajari di dalam bilik darjah.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025, Muhammad Rezairy Izzat Roslan, 20, ketika ditemui berkata, dia teruja pertama kali merasai pengalaman mengundi hari ini.

“Masa Pilihan Raya Umum (PRU) dulu saya belum cukup umur. Jadi, memang saya rasa teruja sebab proses ini seakan-akan pilihan raya sebenar.
“Apa yang dipelajari ketika dalam kelas pun memang sama seperti yang diaplikasikan hari ini. Proses mengundi pun berjalan lancar,” katanya.
P. Dhaarshini, 19, yang juga merupakan salah seorang daripada MPP turut teruja merasai pengalaman mengundi hari ini.
Katanya, proses itu menjadi pengalaman terbaik kepada pelajar terutamanya dengan penglibatan SPR negeri yang memberi gambaran situasi sebenar proses tersebut dijalankan.
Dia bagaimanapun turut mendedahkan para MPP di PTE itu telah menjalankan penilaian awal secara tertutup bagi mengenal pasti calon-calon yang berkarisma dan berkaliber bagi pemilihan kali ini.

“Kami juga buat penilaian awal melalui pencapaian akademik dan cara calon mengendali program. Jadi, setiap kali ada program yang memerlukan kerjasama pelajar, kami buat penilaian secara tertutup dalam aspek kepimpinan.
“Saya dapat tahu sebenarnya dalam kalangan warga kolej ada satu stigma bahawa manifesto adalah sekadar janji manis, justeru saya berharap barisan pemimpin akan datang akan pecahkan stigma tersebut dan menunaikan janji manis yang diberikan,” jelasnya.
Sebagai rekod, pemilihan Perwakilan Tingkatan Enam akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di peringkat PTE pada 8 September melibatkan seramai 85,638 orang murid Tingkatan Enam di 635 PTE seluruh negara. – MalaysiaGazette
















