Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba bagi penghujahan saman SRC International Sdn Bhd terhadapnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, wang berjuta-juta yang sepatutnya untuk projek kebajikan, dipindah masuk ke dalam dua akaun Datuk Seri Najib Razak atas arahan peribadi bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling berkata, arahan itu bukan dibuat atas kapasiti rasmi Azlin sebagai salah seorang pemegang amanah yayasan tersebut.

Menurut saksi, tiada apa-apa dalam Perlembagaan YR1M, polisi atau kontrak pekerjaan yang mewajibkannya mematuhi arahan tersebut.

“Ia bukan berkaitan kapasiti beliau sebagai pemegang amanah YR1M kerana ia tidak melibatkan yayasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib pada perbicaraan saman SRC International Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn. Bhd. terhadap bekas Perdana Menteri.

Pada 15 Ogos lalu, Su Ling memberitahu mahkamah, dana RM42 juta yang sepatutnya digunakan untuk membiayai projek di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR), telah dipindah masuk ke dalam dua akaun peribadi Ambank milik bekas Perdana Menteri.

Katanya, beliau hanya mengetahui akaun itu milik Najib melalui laporan media ketika perbicaraan SRC International berlangsung.

Pada sesi hari ini, ketika ditanya Muhammad Farhan, Su Ling berkata, tidak terdapat minit mesyuarat lembaga pengarah (BoD) yayasan atau sebarang mandat bertulis yang mengarahkan pemindahan dana ke dalam kedua-dua akaun itu.

Su Ling turut bersetuju bahawa beliau tidak dipaksa untuk mengikut arahan sewenang-wenangnya yang tiada kaitan langsung dengan hal ehwal yayasan.

Peguam: Tiada apa-apa dalam polisi yayasan dan kontrak pekerjaan kamu yang memaksa kamu mengikuti arahan tersebut.
Saksi: Dari segi undang-undang, ya tiada apa-apa yang boleh memaksa saya.

Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif organisasi itu dari Januari 2013 hingga Mei 2018 turut menyatakan bahawa pihaknya tidak akan ‘mempersoal’ tindakan lembaga pemegang amanah badan amal itu.

“Beliau adalah setiausaha sulit kanan Perdana Menteri (ketika itu). Kita tidak akan menyoalnya tentang siapa, apa, bagaimana. Bukan tempat saya untuk menyiasat bos mengenai perkara ini,” katanya.

Su Ling merupakan saksi plaintif pertama dalam saman yang difailkan oleh SRC International dan anak syarikatnya terhadap Najib untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.

Sebelum ini, beliau memberi keterangan bahawa Azlin memberitahunya bahawa dalam beberapa bulan akan datang dana akan dipindahkan ke ‘akaun bank yang diselenggara’ oleh Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (IPSB).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 13 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast