Pemain Manchester United, Andre Onana ketika pertemuan menentang skuad ASEAN All Stars pada perlawanan Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 MEI 2025.
LONDON – Andre Onana bakal menerima gaji berganda selepas bersetuju untuk menyertai Trabzonspor secara pinjaman dari Manchester United sehingga penghujung musim 2025/26, lapor Daily Mail, Chris Wheeler.
Penjaga gol berusia 29 tahun itu dijangka berlepas ke Turkiye pada Khamis minggu ini sebaik sahaja kedua-dua kelab memuktamadkan perjanjian yang turut merangkumi bayaran yuran penyertaan serta pelbagai bonus.
Difahamkan, United tidak akan menerima sebarang bayaran pinjaman daripada Trabzonspor dan kelab Turkiye itu juga tidak mempunyai pilihan untuk menjadikan perpindahan ini tetap apabila kontrak pinjaman tamat pada 30 Jun 2026.
Masa depan Onana di Old Trafford menjadi tanda-tanya sepanjang musim panas lalu selepas United aktif memburu penjaga gol baharu sebelum melengkapkan pembelian Senne Lammens dari Antwerp dengan nilai £21.7 juta pada minggu lalu.
Walaupun terdapat jaminan awal daripada sumber terdekat bahawa Onana akan kekal di United, pemain kebangsaan Cameroon itu telah dimaklumkan bahawa kelab tidak akan menghalang Onana sekiranya dia mahu mencari cabaran baharu di tempat lain.
Rundingan bersama Trabzonspor berjalan lancar susulan kelab tersebut sedang dalam proses menjual penjaga gol utama mereka, Ugurcan Cakir kepada Galatasaray.
Sejak berhijrah dari Inter Milan dengan nilai £47.2 juta dua tahun lalu, prestasi Onana sering dipersoalkan selepas merekodkan beberapa kesilapan besar.
Musim ini, dia hanya beraksi sekali iaitu dalam kekalahan mengejut United kepada Grimsby Town di Piala Carabao yang turut menyaksikan satu lagi kesilapan daripadanya.
Rentetan itu, Altay Bayindir diberi kepercayaan untuk menggalas tugas utama dalam tiga aksi Liga Perdana Inggeris setakat ini.
Keadaan Onana semakin rumit apabila beliau terlepas keseluruhan aksi pra musim akibat kecederaan hamstring yang dialami pada hari kedua latihan di Carrington pada Julai lalu.
United sebelum ini turut dikaitkan dengan Emi Martinez dari Aston Villa selain menawarkan Onana dengan harga £30 juta kepada Monaco, sekaligus memberi gambaran bahawa mereka terbuka untuk menjual Onana.
Selepas United memilih untuk menandatangani Lammens berbanding Martinez, laporan menyebut kelab bersedia untuk mengekalkan empat penjaga gol senior musim ini, apatah lagi Onana dijangka menyertai skuad Cameroon ke Piala Negara-Negara Afrika awal tahun depan.
Namun, apabila kelab membuka ruang untuk perpindahan, bekas bintang Ajax itu akhirnya memilih untuk menilai pilihan lain meskipun masih mempunyai baki kontrak tiga tahun di Old Trafford.
Pemergian Onana dijangka membuka laluan buat Lammens untuk merebut status penjaga gol utama United, manakala Bayindir dan Tom Heaton akan mengisi peranan sebagai pilihan kedua serta ketiga. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast