TEHRAN – Kerajaan Iran memutuskan untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai program nuklearnya buat pertama kali sejak tercetusnya perang dengan Israel, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik satu laporan pada Isnin.
Keputusan itu dibuat pada Ahad, menurut akhbar Farikhtegan.
Setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada kerajaan.
Menurut laporan itu, pada permulaan rundingan, satu permintaan akan dikemukakan untuk menangguhkan pelaksanaan mekanisme “snapback” yang dimulakan oleh negara-negara Eropah bagi mengenakan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran berhubung program nuklearnya.
Israel menyerang Iran pada Jun lalu bagi menghalang negara itu membina bom nuklear. Seminggu kemudian, AS menyertai perang dan mengebom kemudahan nuklear Iran. Barat telah lama menuduh Iran berusaha mendapatkan senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan Tehran.
Sebelum perang, AS telah berunding dengan Tehran hampir dua bulan mengenai program nuklear Iran tetapi tanpa sebarang kemajuan.
Jerman, Perancis dan Britain sejak itu meningkatkan tekanan terhadap Iran untuk menyambung semula rundingan dengan mengaktifkan mekanisme sekatan.
Mekanisme “snapback” ialah peruntukan undang-undang yang direka untuk mengembalikan semula sekatan PBB ke atas Iran secara automatik sekiranya negara itu gagal memenuhi komitmennya di bawah perjanjian nuklear Vienna yang dimeterai pada 2015.
Perjanjian itu, yang turut ditandatangani oleh AS, China dan Rusia, bertujuan mengehadkan program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada penghapusan sekatan.
Pada 2018, Donald Trump menarik AS keluar daripada perjanjian itu ketika penggal pertamanya sebagai presiden. Oleh itu, Iran menganggap pengenalan semula sekatan di bawah mekanisme berkenaan sebagai tidak sah.
— BERNAMA-dpa
















