Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Jemputan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN.

Kenyataan tersebut susulan tindakan wakil MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu di Shah Alam baru-baru ini.

“Amat penting bagi kita semua sebagai rakan lama untuk lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza.

“Saya mengambil perhatian terhadap tindakan MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu melalui wakilnya, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan.

“Langkah ini telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakan komponen BN khususnya UMNO memandangkan hubungan antara BN dan Bersatu pada hakikatnya mempunyai sejarah serta cabaran yang tersendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Ujar Wan Rosdy, MIC tetap diberikan tempat yang sewajarnya dan sering dipertahankan atas dasar kebersamaan di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kedudukan yang lebih baik seperti di Pahang.

Menteri Besar Pahang itu juga menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain untuk terus memperkukuh BN, membina kembali kekuatan secara kolektif.

Selain itu, beliau menyeru agar tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan parti ketika berdepan waktu sukar.

“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast