Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran dan Penyampaian Watikah Majlis Sejarawan Negara di Dewan Head of State, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan konsep Negara Madani tidak boleh hanya berlegar pada aspek pembangunan ekonomi dan teknologi semata-mata.

Sebaliknya, berkata konsep tersebut perlu inklusif dan merangkumi nilai, sejarah, budaya dan akhlak.

“Negara selalunya bersaing atau bertegas untuk mengangkat martabat ekonomi. Jadi pengkhususan banyak negara industri, teknologi baru, ekonomi.

“Tapi untuk melengkapkan maksud, memaknai Madani itu, dia mesti terangkul apa yang maksud jati diri, soal maruah, soal pemahaman tentang sejarah dan tentang menguruskan semula pengertian dan pemahaman sejarah,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan melucurkan dan menyampaikan watikah pelantikan Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Dalam pada itu, Anwar menambah, banyak negara merdeka masih terpengaruh dengan kerangka pemikiran Barat kerana terpegun dengan tamadun penjajah.

“Ini teori lama, daripada Ibn Khaldun, kadang-kadang orang yang terjajah itu masih terpukau dengan kerangka pemikiran negara yang lebih hebat, lebih bertamadun, yang menjajah,” katanya lagi.

Mengulas kepesatan teknologi masa kini, beliau mengingatkan kecerdasan buatan (AI) tidak boleh dijadikan salinan pandangan asing tanpa nilai dan identiti tempatan.

“AI akan berjaya kalau kita faham nilai, akhlak dan sejarah kita. AI itu akan jadi penerusan pandangan asing sekiranya kita hanya menciplak tanpa mempertahankan identiti dan kekuatan kita sendiri termasuk sejarah,” katanya.

Justeru, perdana menteri menegaskan, generasi muda perlu diberi pendidikan menyeluruh merangkumi teknologi, sejarah, bahasa, budaya, agama serta nilai.

“Dalam mendukung hasrat tinggi Malaysia untuk menjadi memiliki kekuatan melalui digital transformation dan AI, saya selalu tegaskan, mesti ada kekuatan dalamnya. Anak-anak mesti dilatih dalam pelbagai disiplin termasuk sejarahnya, budaya, bahasanya, agamanya dan yang lebih penting nilainya,” katanya.

Justeru itu, Anwar menggesa supaya usaha memperkukuhkan pemahaman sejarah dikalangan golongan muda dipertingkatkan bagi memupuk minat terhadap sejarah negara sekaligus menaikkan lagi semangat cintakan negara.

Beliau turut berkata, aspek sejarah perlu dititikberatkan supaya golongan muda sentiasa berada di landasan betul seiring dengan perkembangan AI.

“Jadi cabaran kita itu adalah bagaimana kita boleh membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan  yang ada agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah itu juga boleh berkembang di kalangan generasi muda dan masyarakat.

“Ia tidak semestinya semua harus mengambil disiplin dan kemantapan daripada ajaran (sejarah) tetapi sistem itu harus memberikan minat (bidang sejarah),” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast