Pokok tumbang hempao sebuah kereta di Kuala Lipis petang tadi. Gambar : JBPM Pahang

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang menerima laporan dua kejadian pokok tumbang masing-masing di Lipis dan Kuantan akibat ribut petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, laporan pertama diterima berkaitan kejadian itu berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, Kuala Lipis pada jam 6.53 petang tadi.

Katanya, sebuah kenderaan jenis Honda CRV dinaiki dua individu turut terjejas selepas dihempap sebahagian dahan pokok yang tumbang di tempat kejadian.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis yang tiba tiga minit selepas panggilan kecemasan, segera menjalankan operasi menggunakan gergaji berantai untuk memotong serta mengalihkan dahan yang menghempap kenderaan.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, kes kedua pula dilaporkan pada jam 7.00 malam di Lorong Kampung Alor Ladang 4, Beserah, di sini di mana sebatang pokok tumbang menghempap bahagian dapur sebuah rumah yang dihuni tiga sekeluarga.

Namun, Zulfadli berkata, semua penghuni terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua wanita dewasa dilaporkan selamat.

JBPM Pahang menasihati orang ramai agar lebih berwaspada terutama ketika cuaca hujan lebat dan berangin yang boleh menyebabkan pokok tumbang, serta segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast