KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 tiket telah terjual sehingga tengah hari tadi untuk aksi persahabatan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam ini.
Jualan tiket dilihat perlahan memandang perlawanan antara Harimau Malaya bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu dihadiri lebih 23,000 peminat setia.
Namun jualan tiket dijangka meningkat petang ini memandangkan sikap penyokong tempatan yang membeli tiket pada saat-saat akhir selain merindukan aksi Harimau Malaya.
Perlawanan terakhir Malaysia menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu di menyaksikan 61,512 penyokong memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kehadiran penyokong yang ramai ketika itu didorong oleh revolusi Harimau Malaya yang menampilkan pemain warisan berkualiti tinggi di bawah bimbingan Peter Cklamovski.
Tiket bagi perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Palestin dijual dengan dua pilihan berbeza iaitu RM40 terbuka dan RM5 kanak-kanak.
Perlawanan persahabatan ini adalah bagi persiapan skuad kebangsaan sebelum meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober. – MalaysiaGazette















