Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay melawat tapak pameran selepas hadir ke Majlis Perasmian 6th National Forensic Science Symposium For Law Enforcement (NAFSLE) 2025 di Maktab PDRM Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kepakaran forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini masih belum mencukupi bagi menampung keperluan siasatan jenayah yang semakin kompleks.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bidang forensik memerlukan kepakaran khusus dan tidak semua anggota polis boleh ditempatkan dalam unit berkenaan kerana ia menuntut minat serta kemahiran tertentu.

Katanya, cabaran utama kini adalah ruang kenaikan pangkat yang terhad menyebabkan ramai pakar berpotensi keluar daripada bidang tersebut kerana kerjaya mereka seolah-olah terhenti di satu tahap.

“Bagi mengekalkan kepakaran sedia ada, kita telah bawa perkara ini kepada Kementerian Dalam Negeri supaya diwujudkan jawatan khusus (plexi pos) bagi membolehkan pegawai forensik kekal berkhidmat dalam bidang itu dari peringkat inspektor sehingga ke pangkat lebih tinggi.

“Langkah ini penting kerana bukan semua polis boleh ditempatkan di unit forensik, sebaliknya hanya mereka yang benar-benar mempunyai kepakaran dan minat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Persamian Simposium Sains Forensik Kebangsaan ke-6 untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) 2025 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 280 pengamal undang-undang, pegawai penyiasat, ahli akademik dan pakar forensik daripada pelbagai agensi penguat kuasa seluruh negara berhimpun dalam program berkenaan yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Majlis penutupan simposium itu nanti akan disempurnakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast