Rais Yasin

MELAKA – Kerajaan negeri mengarahkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laporan lengkap berhubung  kemalangan membabitkan peserta Melaka International Marathon 2025 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, di sini Ahad lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini, beliau ada mendengar kejadian terbabit namun belum mendapat maklumat sebenar kejadian itu.

“Ya saya mendengar laporan tersebut (peserta larian kemalangan) dan saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) untuk bagi laporan penuh kejadian.

“Siasatan lanjut perlu dilakukan dan tindakan akan dibuat setelah saya mendapat laporan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA) di sebuah hotel di sini hari ini.

Rais (tengah) selepas merasmikan seminar Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA) di sebuah hotel di Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemalangan peserta pada acara itu selain turut mencetuskan pelbagai reaksi negatif diluahkan peserta di media sosial berhubung kelemahan pengurusan acara.

Dalam pada itu, Rais turut memuji Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Melaka kerana membolehkan urusan tandatangan perjanjian jual beli rumah dilakukan secara digital mulai 1 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast