Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hadir pada sidang media mengenai perkembangan terkini beberapa kes rasuah profil tinggi termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Op Sikaro dan pengurusan kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 SEPTEMBER 2025

 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa 20 pegawai bank pada akhir September atau awal Oktober ini selepas meluluskan pinjaman RM700 juta kepada penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia dikesan menerusi Op Sky dan pendakwaan itu akan dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

“SPRM turut melaksanakan proses pemulihan wang tunai berjumlah RM250 juta yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Sekiranya pemulihan gagal dicapai, mereka akan dituduh di mahkamah kerana enggan bersetuju membuat pemulihan mengikut Akta SPRM 2009 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM telah merampas kira-kira 4,000 dokumen bagi membantu siasatan berhubung kelulusan pinjaman tersebut yang dipercayai membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.

Kes terbabit dikesan selepas pihaknya berjaya menumpaskan sindiket perunding kewangan dan institusi perbankan yang aktif sejak tahun 2020.

Azam dilaporkan berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menawarkan khidmat perunding kewangan kepada penjawat awam melalui media sosial selain menganjurkan jelajah ke beberapa jabatan dan kementerian.

Terdahulu, SPRM dalam Ops Sky menahan 12 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dalam serbuan di 24 lokasi sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.

Individu terbabit yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, pengurus serta bekas pengurus jualan institusi kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast