Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Rayuan kerajaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan pencen penjawat awam diselaraskan mengikut formula sebelum pindaan 2013, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lim Chong Fong yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menetapkan pengurusan kes pada 17 September ini.

Mahkamah selesai mendengar rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk mengetepikan semakan kehakiman seorang pesara, Aminah Ahmad berkaitan pelarasan pencen mengikut formula dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980 (PAA 1980).

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berhujah bagi pihak perayu manakala peguam Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad dan Datuk Dr. Baljit Singh mewakili Aminah.

Dalam hujahnya, Ahmad Hanir berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membenarkan semakan kehakiman Aminah supaya pencen penjawat awam, diselaraskan berdasarkan gaji akhir.

Hujah beliau, ini kerana isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman (Aminah), telah diputuskan dalam saman pemula (OS) yang dikemukakannya pada 2017.

Hujah beliau, isu semakan gaji yang menjadi asas kepada OS 2017, tidak lagi boleh dibangkitkan dalam semakan kehakiman kerana ia sudah menjadi `res judicata’ dan `issue estoppel’ iaitu perkara yang telah diputuskan di mahkamah.

Ahmad Hanir selanjutnya berhujah, bagi tujuan menentukan sama ada Aminah berhak untuk pelarasan pencen berdasarkan formula sebelum 2013, isu pokok yang dibangkitkan dalam OS 2017 adalah sama ada terdapat semakan gaji dibuat selepas 2012.

Hujahnya, isu berkenaan kewujudan semakan gaji sepatutnya ditentukan oleh Mahkamah Tinggi dalam mencapai dapatan sama ada terdapat kerugian sebenar yang melayakkan pemohon mendapat pelarasan pencen.

Beliau berhujah, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika menolak isu `res judicata’ dan gagal menimbang sama ada pesara mengalami kerugian sebenar yang melayakkan pelarasan pencen dibuat.

“Ia satu penyalahgunaan proses mahkamah apabila pemohon (Aminah) mahu mendapatkan pelarasan pencen melalui perintah mandamus menerusi semakan kehakiman walhal percubaan sama melalui OS 2017, gagal sehingga di peringkat rayuan,” hujahnya.

Sementara itu, Abd. Shukor berhujah, semakan kehakiman Aminah bukan penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia didorong oleh keengganan berterusan kerajaan untuk menyelaraskan pencen walaupun selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2023.

Hujah beliau, Mahkamah Tinggi betul ketika memutuskan bahawa OS 2017 tidak menghalang anak guamnya mengemukakan semakan kehakiman kerana kedua-dua prosiding adalah berbeza dari segi relif yang dipohon, asas undang-undang dan jangka masa operasi.

“Responden berhak untuk menguatkuasakan haknya dan tanggungjawab hasil keputusan rayuan terdahulu dengan kesan secara prospektif,” ujarnya.

Pada 16 Januari lalu, Hakim Datuk Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman Aminah turut mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman.

Bagaimanapun, pada 4 Mac lalu, hakim berkenaan membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung pelarasan bayaran pencen berkuat kuasa mulai Januari 2022, sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Perintah itu yang melibatkan pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022, bukan sahaja perlu dibayar kepada pemohon-pemohon (Aminah Ahmad dan 56 pesara perkhidmatan awam), malah kepada 531,976 pesara.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast