Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hadir pada sidang media mengenai perkembangan terkini beberapa kes rasuah profil tinggi termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Op Sikaro dan pengurusan kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 SEPTEMBER 2025

 

 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap kes Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berkaitan penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Tan Sri Azam Baki berkata, ia selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada sebarang kes  jenayah boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.

“Kita telah memanggil semua pihak yang berkaitan dan merekodkan keterangan, termasuk daripada Sabah Mineral Management dan kerajaan negeri dan siapa-siapa yang dikatakan terbabit.

“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan, dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

 

Azam Baki bercakap pada sidang media diiringi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (kiri) dan Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan, SPRM Yuhafiz Mohd Salleh (kanan)  di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 SEPTEMBER 2025

 

 

Tambah Azam, siasatan berhubung isu berkenaan timbul selepas terdapat dakwaan bahawa syarikat berkaitan Farhash mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah.

Jelas beliau, ia bukanlah kelulusan daripada kerajaan negeri atau EXCO, sebaliknya hanya permohonan penerokaan mineral yang dibuat kepada Sabah Mineral Management.

Katanya, Sabah Mineral Management pada mulanya membenarkan eksplorasi itu secara bersyarat pada Mac 2023 dan syarikat terbabit  perlu mengemukakan dokumen tertentu.

“Oleh kerana syarikat berkenaan tidak menepati atau tidak melaksanakan mengenai ‘submission’ (mengemukakan) dokumen-dokumen yang diperlukan, maka pada tarikh iaitu 21 Mac 2025, sudah pun dibatalkan permohonan ini.

“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa penerokaan yang dijalankan kerana tidak membekalkan dokumen-dokumen berkenaan.

“Sebenarnya ini bukan satu permohonan tanah, yang ada adalah permohonan untuk penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management, yang mana ini bukan urusan kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, nama Farhash Wafa Salvador menjadi perhatian susulan gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadapnya.

Gesaan itu dikemukakan selepas timbul dakwaan bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador telah menerima kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berpendapat SPRM mempunyai asas yang mencukupi untuk menyiasat perkara berkenaan.

Menurut beliau, maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast