Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira M Noor Azman Taib bersama pemain industri dan delegasi selepas perasmian Smart City Expert Talk bersempena Mesyuarat Tahunan Ke-8 ASEAN Smart City Network (ASCN8) di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pembangunan bandar pintar bukan sekadar soal teknologi semata-mata.

Ia sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pembentukan kehidupan yang lebih baik, komuniti yang kukuh serta masa depan yang lestari untuk seluruh ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira M Noor Azman Taib berkata, hal itu selari dengan cabaran dihadapi rantau ini berikutan kepesatan urbanisasi, perubahan iklim, transformasi digital serta perubahan demografi.

“Menjelang tahun 2050, hampir 70 peratus penduduk ASEAN akan tinggal di kawasan bandar. Realiti ini membawa cabaran besar dalam mobiliti, perumahan, kelestarian dan keterangkuman.

“Justeru kita perlu memastikan pembangunan bandar pintar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Smart City Expert Talk bersempena Mesyuarat Tahunan Ke-8 ASEAN Smart City Network (ASCN8) di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira M Noor Azman Taib.

Program anjuran PLANMalaysia itu menghimpunkan lebih 250 peserta dari seluruh ASEAN dan Malaysia, termasuk pembuat dasar, pakar akademik, pemimpin industri serta belia profesional.

Menurut Noor Azman, Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap agenda bandar pintar melalui Kerangka Bandar Pintar Malaysia dan Agenda Bandar Pintar Malaysia 2040 dengan tujuh komponen utama iaitu tadbir urus, ekonomi, alam sekitar, mobiliti, rakyat, kehidupan serta infrastruktur digital.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 43 pihak berkuasa tempatan telah menerima pengiktirafan di bawah Program Pengiktirafan Bandar Pintar Malaysia 2023 manakala 15 perbandaran turut menyertai fasa pertama Program Pengiktirafan Perbandaran Pintar tahun ini.

Malaysia juga mencatatkan peningkatan dalam Indeks Bandar Pintar IMD 2025 melonjak lapan anak tangga daripada kedudukan ke-73 ke tangga ke-65 dunia.

“Pendekatan Malaysia sentiasa berteraskan rakyat. Teknologi hanyalah pemangkin, yang lebih penting ialah bagaimana ia meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh inklusiviti dan membina daya tahan komuniti kita,” tegasnya.

Mengulas tema mesyuarat kali ini, Empowering Sustainable Urban Futures: Innovations and Collaborations for Smart Cities in ASEAN, beliau menegaskan empat elemen penting iaitu pemberdayaan, kelestarian, inovasi dan kolaborasi.

“Tiada sebuah bandar pun yang mampu bergerak sendirian. Hanya dengan kolaborasi antara kerajaan, komuniti dan industri barulah kita mampu membina masa depan bandar pintar ASEAN yang lebih gemilang,” ujarnya.

Program turut menampilkan Smart City Connect Exhibition dengan 25 reruai pameran daripada kementerian, agensi termasuk MIGHT dan MDEC, kerajaan negeri Johor, Pulau Pinang, Terengganu, institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaya (UM) selain pemaju dan penyedia solusi.

Suasana orang ramai melawat pameran pada ASEAN Smart City Network Annual Meeting 8 (ASCN8) di Shangri-la Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 SEPTEMBER 2025.

Tiga sesi panel pakar turut diadakan meliputi perbincangan mengenai Integrasi Penyelesaian Bandar Pintar untuk Pertumbuhan Lestari, Model Tadbir Urus Bandar Pintar di ASEAN, serta Kerjasama Awam-Swasta dalam Pembangunan Bandar Pintar.

Noor Azman turut mengajak semua pihak memanfaatkan platform ASCN8 untuk memperkukuh jaringan kerjasama serantau.

“Saya menggalakkan semua peserta untuk aktif bertukar pandangan, berkongsi idea dan membina kolaborasi bermakna. Semoga sesi ini menyuntik perspektif baharu serta membuka ruang kepada perkongsian strategik demi bandar pintar masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast