Christopher Patit

MELAKA – Polis menafikan wujud cubaan culik seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh di sini sehingga ia tular dalam kumpulan WhatsApp semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit sebaliknya mengesahkan, kejadian itu berpunca daripada salah faham berhubung isu berebut pemadam oleh pelajar berkenaan dengan seorang lagi pelajar lain.

Menurut beliau, kejadian bermula apabila pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 28 tahun kononnya anak lelakinya berusia sembilan tahun dilihat bersama seorang wanita tidak dikenali di luar kawasan sekolah pada 8 September lalu.

“Kes yang dikatakan ‘culik’ itu kemudian tular melalui aplikasi WhatsApp kumpulan sekolah sehinggalah ianya dilihat seorang wanita berusia 44 tahun yang merasakan dia adalah ‘penculik’ dimaksudkan dalam WhatsApp yang tular itu.

“Wanita itu kemudian membuat laporan polis pukul 4.27 petang semalam menjelaskan kejadian itu hanyalah salah faham berkenaan isu berebut pemadam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis menafikan wujud cubaan culik seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh, Melaka sehingga ianya tular dalam kumpulan WhatsApp semalam.

Christopher berkata, perkara sebenar adalah wanita itu hadir mengambil anaknya berusia 11 tahun di sekolah sama pada hari kejadian dan secara kebetulan berjalan bersama murid lelaki terbabit.

“Wanita yang bekerja sebagai penjaja itu kemudian menegur murid berkenaan selepas berlaku insiden kecil berebut pemadam dengan rakan sekelas.

“Kedua-dua pihak kemudian hadir ke Balai Polis Ayer Keroh dan mencapai persetujuan isu tersebut hanyalah salah faham serta tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes dianggap selesai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast