Logo Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), yang mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta di seluruh negara mendakwa kekurangan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) semakin meruncing, sekali gus memberi kesan besar kepada pelajar, khususnya daripada golongan B40.

Badan ini mendakwa, sejak dua tahun kebelakangan ini, PTPK telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran serta elaun sara hidup bulanan, menjejaskan ribuan pelajar di seluruh negara.

Sedangkan, hampir 80% daripada mereka datang daripada keluarga B40 yang menjadikan TVET sebagai peluang kedua untuk membina masa depan.

Akibat daripada masalah ini, pelajar baharu yang sudah mendaftar tidak menerima pembiayaan seperti dijanjikan dan pelajar yang mahu melanjutkan pengajian dari sijil ke diploma tidak dapat meneruskan pengajian.

Manakala pelajar sedia ada tidak menerima elaun sara hidup, menyebabkan keluarga tertekan menanggung kos pengangkutan dan makanan.

Institusi TVET swasta pula berdepan cabaran kewangan serta kekangan dalam pengambilan pelatih baharu.

“Situasi ini menjejaskan kelancaran perjalanan akademik pelatih, selain mengancam agenda nasional kerana Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 1.3 juta tenaga kerja mahir menjelang 2030.

“Jika pelajar ini dihentikan pengajiannya, negara akan kehilangan sebahagian besar tenaga muda tempatan dan terpaksa bergantung lebih banyak kepada pekerja asing,” kata FeMAC dalam kenyataan.

FeMAC menegaskan, perkara ini berlaku kerana ketidakcukupan dana, bukan kelemahan institusi.

Oleh itu, adalah tidak wajar sekiranya PTPK mengenakan syarat tambahan yang tidak relevan kepada pusat latihan.

Sebaliknya, Penarafan Tunggal TVET wajar dijadikan kriteria utama kelayakan institusi kerana ia mendorong peningkatan kualiti dan memberi outcome terbaik kepada pelatih.

Oleh itu, FeMAC mahu kerajaan segera menambah dana bagi tahun 2025 untuk menampung permintaan semasa.

Selain itu, memberi peruntukan tetap RM500 juta setahun di bawah RMK13 (2026–2030) khusus untuk PTPK dan elaun sara hidup dibayar dengan segera kepada pelajar sedia ada.

Ia juga menuntut mekanisme penyelarasan baharu agar tidak berlaku lagi gangguan permohonan pinjaman dan penjelasan terbuka daripada kementerian tentang dasar baharu dan penyelesaian jangka panjang.

FeMAC turut menyokong usaha mempergiatkan kutipan bayaran balik daripada graduan latihan kemahiran sebagai mekanisme menambah baik dana namun, institusi tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan individu pelatih membayar semula pinjaman kerana ia berada di luar kawalan institusi.

“Perkembangan positif TVET dengan wujudnya institusi baharu perlu diraikan bersama institusi lama, namun ia hanya dapat dicapai sekiranya dana yang lebih besar disuntik. Tanpa langkah ini, aspirasi negara untuk menjadikan TVET tonggak utama pendidikan akan terbantut,” tegas FeMAC.

Jelasnya, FeMAC kekal komited bekerjasama dengan pihak kerajaan, PTPK, dan semua pemegang taruh dalam memastikan TVET swasta terus relevan, mampan dan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast