PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini membuat satu keputusan bersejarah hari ini di mana kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwaraya secara sepenuhnya.
Jurucakap Kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia dipersetujui selepas Kabinet berpuas hati dengan model pengasingan kuasa yang dibentangkan pagi tadi.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah membentangkan beberapa model pengasingan kuasa (antara Peguam Negara dan Pendakwaraya).
“Setelah memberi pertimbangan menyeluruh, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini telah diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tujuh yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Azalina dalam satu kenyataan menjelaskan, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
“Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwaraya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.
“Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45],” katanya.
Menurut Azalina, pelaksanaan dibuat secara berfasa dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
“Beberapa kementerian dan agensi akan meneruskan peranan selanjutnya untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.
“Antaranya Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh BHEUU JPM bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya.
Katanya, syor lengkap hasil perincian akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan.
“Dengan langkah itu pengasingan kuasa dapat dijalankan dengan sewajarnya selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.
“Langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan MADANI.
“Ia bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















