KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merangka ASEAN Smart City Action Plan (ASCAP) 2026-2035 sepenuhnya melalui kepakaran dalaman tanpa melibatkan khidmat perunding luar.
Malah yang lebih menarik, inisiatif itu menjadi antara sumbangan terbesar negara dalam mengemudi pembangunan bandar pintar ASEAN untuk dekad baharu.
ASCAP dilancarkan sempena Mesyuarat Tahunan ke-8 ASEAN Smart Cities Network (ASCN8) di Kuala Lumpur yang menjadi dokumen panduan penting berteraskan visi menjadikan bandar-bandar ASEAN lebih inklusif, berdaya tahan, hijau, inovatif dan berpusatkan rakyat.
Ia juga menekankan aspek digitalisasi, ekonomi pintar, kelestarian alam sekitar serta pemacuan inovasi tempatan bagi memperkukuh kualiti hidup warga bandar di rantau ini.
Itu penegasan Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Mohd Hazli Ahmad yang juga Pengerusi ASCN8.
Katanya, usaha itu membuktikan keupayaan Malaysia bukan sahaja memimpin di peringkat dasar malah menyumbang secara substantif dan praktikal kepada pembangunan bandar pintar ASEAN.
“Selain merangka ASCAP, Malaysia turut menambah nilai dengan menganjurkan platform perkongsian teknologi dan kepakaran melalui Smart City Connect Exhibition dan Smart City Expert Talk di samping mengetengahkan inisiatif bandar pintar tempatan seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya dalam temubual eksklusif MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, pendekatan yang sama menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk menjadi jambatan antara dasar serantau dengan pelaksanaan di peringkat bandar selain memastikan manfaat teknologi pintar dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Sebagai tuan rumah, Malaysia juga menekankan visi utama ‘Bandar Pintar, Rakyat Sejahtera’ yang menegaskan pembangunan pintar bukan hanya soal penggunaan teknologi canggih sebaliknya harus menyentuh terus aspek kesejahteraan masyarakat, memastikan tiada bandar yang tertinggal dan tiada rakyat yang terpinggir.
Mesyuarat ASCN8 kali ini memberi tumpuan kepada tiga agenda utama memperkukuh kerjasama serantau, menyelaras hala tuju ASCAP 2026-2035 serta membentuk rangkaian bandar pintar ASEAN sebagai komuniti pembelajaran bersama.
Dengan lebih 90 bandar pintar yang kini berdaftar dalam rangkaian ASCN, kerjasama rentas sempadan menjadi semakin penting untuk memastikan pembangunan yang lebih seimbang.
Dalam masa sama, Mohd Hazli tidak menafikan cabaran utama yang perlu dihadapi dalam merencanakan aspirasi dan impian berkenaan.
Katanya, kepelbagaian tahap pembangunan dalam kalangan negara anggota sering kali menjadi halangan dengan ada bandar yang sudah jauh ke hadapan dalam penggunaan teknologi sementara yang lain masih berusaha menyediakan prasarana asas.
“Isu pembiayaan, kesalinghubungan digital serta jurang kapasiti juga perlu diberi perhatian. Justeru ASCAP dirangka secara fleksibel tetapi tetap berpaksikan nilai bersama supaya semua negara dapat bergerak dalam jalur pembangunan pintar masing-masing,” jelasnya.

Malaysia juga menegaskan pentingnya mengangkat inovasi tempatan sebagai tonggak kepada pembangunan bandar pintar.
Dengan menonjolkan projek-projek perintis di Putrajaya dan Kuala Lumpur, Malaysia mahu menunjukkan pengalaman sendiri boleh dijadikan rujukan serantau di samping membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk memperluas kepakaran ke pasaran ASEAN.
Pelancaran ASCAP 2026-2035 turut disifatkan sebagai bukti rantau ASEAN mampu merangka halatuju sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada model luar.
Ia memberikan naratif baharu bahawa pembangunan bandar pintar di Asia Tenggara berasaskan realiti setempat, keperluan rakyat serta aspirasi bersama ke arah masa depan yang lebih inklusif dan lestari.
Dengan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASCN8, negara meletakkan dirinya sebagai pemacu utama dalam menghubungkan dasar serantau dengan pelaksanaan di lapangan menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja medan rundingan dasar, tetapi juga pusat demonstrasi inovasi bandar pintar ASEAN.
“Malaysia mahu membuktikan bahawa kepimpinan bukan sekadar di meja rundingan, tetapi juga di lapangan menerusi sumbangan konkrit yang boleh dirasai manfaatnya oleh seluruh rakyat ASEAN,” ujar Mohd Hazli. – MalaysiaGazette
















