Sebahagian warga asing tanpa izin yang ditahan di Pasar Borong Selangor.
KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 34 Notis Tawaran Kompaun (NTK) dalam operasi bersepadu pemeriksaan pelesenan dan membanteras warga asing berniaga tanpa kebenaran di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, baru-baru ini.
Dalam operasi seawal 8.30 pagi pada 8 September lalu, MBSJ yang memeriksa 227 lot niaga, mengeluarkan 28 NTK dikeluarkan di bawah UUK 3 Undang Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan & Perindustrian MPSJ 2007 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen dan denda maksimum RM 1, 000.00 jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, empat NTK di bawah UUK 4 (4)(c) Undang Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan & Perindustrian MBSJ 2007 iaitu melanggar syarat-syarat lesen (Menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah) dan denda maksimum RM1,000 jika disabitkan kesalahan.
Penguat kuasa MBSJ melakukan pemeriksaan pada peniaga di Pasar Borong Selangor.
Selain itu dua NTK di bawah UUK 7 Undang Undang Kecil Iklan MBSJ 2007 iaitu kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen dan denda maksimum RM 1, 000.00 jika disabitkan kesalahan.
MBSJ berkata, operasi itu diketuai oleh Muhamad Sulaiman Abdullah, Penolong Pegawai Penguatkuasa, Jabatan Penguatkuasaan MBSJ dengan penglibatan seramai 85 anggota yang terdiri daripada pegawai dan 66 anggota Jabatan Penguatkuasaan MBSJ, empat pegawai daripada Jabatan Pelesenan MBSJ, serta 15 anggota JIM Negeri Selangor yang diketuai oleh Khairil Anwar Mat Soud.
JIM pula menahan 32 pendatang asing tanpa Izin (PATI) terdiri daripada 29 lelaki dan 3 wanita dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya.
MBSJ berkata, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari masa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast