PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membatalkan pasport milik menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan masih gagal dikesan sejak meninggalkan Malaysia pada Mei 2023.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu diambil bagi menyekat pergerakan individu berkenaan sementara usaha pengesanan terus dijalankan.

“Beliau masih belum dapat dikesan di mana berada. Usaha-usaha untuk mengesan sedang dijalankan. Harapnya KDN akan bersetuju untuk mengambil  pasport beliau dibatalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara ANGKASA dengan SPRM hari ini.

Menurut Azam, SPRM menerima maklumat Muhammad Adlan dipercayai berada di luar negara namun enggan mendedahkan lokasi sebenar atas faktor hubungan diplomatik.

“Ya, saya ada dengar negara yang disebut-sebut itu tetapi saya tidak boleh nyatakan nama negara kerana Malaysia tidak mempunyai perjanjian dengan negara berkenaan.

“Namun begitu, kita sedang berunding dengan pihak mereka bagaimana untuk membawa beliau pulang ke Malaysia,” tambahnya.

MoU itu merupakan usaha bersama bagi meningkatkan tahap integriti selain membantu Angkasa melicinkan hal-hal berkaitan pentadbiran dan tadbir urus.

Antara program penting yang dirancang menerusi kerjasama ini termasuk sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia (HARA) pada 21 Disember 2025.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast