BERGERAK hanya menggunakan satu kaki bukan penghalang untuk menceburi bidang yang mencabar sekaligus menghadiri istiadat konvokesyen kali ini.
Bagi Muhammad Alif Aiman Juyana @ Azlan, graduan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan saat menerima segulung ijazah baru-baru ini adalah simbol kemenangan menentang cabaran hidup yang begitu besar.
“Alhamdulillah, hari ini saya sangat gembira kerana akhirnya saat yang ditunggu-tunggu tiba juga,” luahnya penuh rasa syukur.
Perjalanan beliau tidak semudah yang disangka. Disahkan menghidap Right Tibia Osteosarcoma, sejenis kanser tulang yang jarang berlaku tetapi sangat agresif.
Tahun 2006 menjadi titik mula perjuangan panjang dengan rawatan kemoterapi yang menyakitkan.
Lebih menyayat hati, sebaik sahaja rawatan tamat, beliau terpaksa menerima kenyataan bahawa kaki kanannya perlu dipotong.

Namun beliau melihat ujian itu sebagai satu kekuatan.
“Saya mahu buktikan kredibiliti seorang OKU tidak terhenti di situ. Kami juga mampu meneruskan perjalanan ini dengan semangat, kemudahan dan bimbingan yang diberikan,” ujarnya.
Bagi Alif, ibu bapa adalah sumber kekuatan terbesar.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua orang tua saya yang sentiasa menjadi pendorong utama. Saya juga mahu buktikan pada diri sendiri bahawa menjadi OKU bukanlah penghalang,” katanya.
Kini bergelar eksekutif di Swift Haulage Sdn Bhd, Pelabuhan Utara, Alif bersyukur kerana dikelilingi rakan sekerja dan majikan yang menyokong penuh.
“Ramai tidak percaya saya boleh bekerja di gudang tapi alhamdulillah saya mampu lakukannya,” tambahnya.
Buat masa ini, Alif mahu memberi tumpuan kepada kerjaya sepenuh masa dalam bidang logistik.
Namun cita-citanya tidak terhenti di situ.
“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” katanya.
Beliau turut menitipkan harapan agar UiTM terus menjadi institusi yang inklusif.
“Saya mahu lihat UiTM lebih menyokong pelajar OKU untuk melanjutkan pengajian ke tahap tertinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Rencana sumbangan Aidil Adha Abdullah.
















