PUTRAJAYA – Kes buli di sekolah yang dikendalikan Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah.
Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM merekodkan, sebanyak 3,883 kes buli pada 2022, melonjak kepada 6,528 kes pada 2023 dan terus meningkat kepada 7,681 kes tahun ini.
Daripada jumlah itu, sekolah menengah mencatat kes tertinggi iaitu 3,064 kes pada 2022, 5,418 kes (2023) dan 5,689 kes (2024).
Manakala kes buli di sekolah rendah turut meningkat daripada 819 kes pada 2022 kepada 1,110 kes (2023) dan 1,992 kes (2024).
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki berkata, peningkatan berterusan itu memberi isyarat jelas bahawa isu buli bukan lagi kes terpencil, sebaliknya memerlukan campur tangan serius di peringkat dasar dan pelaksanaan.
“Kita tidak boleh memandang ringan isu buli kerana ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, malah memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi serta masa depan mereka.
“Justeru usaha menggubal RUU Antibuli 2025 amat penting bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pembentangan pada Sesi Towhall Antibuli anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Farah Nini berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 pula menunjukkan, daripada 33,523 responden terdiri daripada pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun mendapati, 26.7 peratus daripada mereka diejek rupa bentuk badan atau wajah, 16 peratus diejek melalui jenaka, komen atau isyarat berbentuk seksual.
Selain itu, 13 peratus dibuli dengan cara ditinggalkan daripada aktiviti dengan sengaja atau diabaikan sepenuhnya, 11.7 peratus pula diejek kerana bangsa, kewarganegaraan atau warna kulit dan lain-lain bentuk buli 20.2 peratus.
“Sebab itu Akta Antibuli penting kerana kes meningkat setiap tahun, ia memberi kesan serius kepada kanak-kanak kerana menyebabkan kemurungan, ponteng sekolah dan risiko bunuh diri.
“Malaysia masih belum mempunyai akta khusus sebaliknya hanya bergantung kepada disiplin sekolah dan undang-undang umum,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















