Ng Keng Heng

ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini setuju mencalonkan Pengerusi MCA Bahagian Kota Tinggi, Datuk Ng Keng Heng untuk dicalonkan sebagai Ahli Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun.

Pemilihan beliau diusulkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri.

Pelantikan itu dibuat mengikut Jadual Ketujuh Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan dan diisytiharkan oleh Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut Onn Hafiz, Keng Heng merupakan seorang tokoh berwibawa yang memiliki latar pendidikan dan mempunyai pengalaman luas bukan sahaja dalam bidang politik sejak menceburinya pada 1996 tetapi juga organisasi dan masyarakat.

“Sumbangan beliau jelas mencerminkan dedikasi tinggi terhadap pembangunan komuniti dan kemajuan negeri secara keseluruhannya,” katanya ketika mencadangkan pelantikan itu.

Keng Heng, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Sumber Manusia daripada Open Universiti Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar daripada Universiti Teknologi Malaysia pernah memegang pelbagai jawatan.

Antara jawatan itu ialah Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi mulai 2001 hingga 2018, Pengerusi Alat-Alat Ganti Kenderaan Terpakai Negeri Johor, Pengerusi Keturunan Huang Johor Bahru dan Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast