JOHOR BAHRU – Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan kawasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dilanda banjir kilat.
Bagaimanapun, banjir kilat itu dilaporkan sudah surut dan keadaan kembali terkawal.
HSA dalam satu kenyataan memaklumkan, bangunan terlibat adalah Bangunan Lily yang menempatkan Klinik Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental.
“Bangunan itu berada di kawasan rendah, menyebabkan ua dinaiki air pada pukul 4 petang, susulan kegagalan sistem saliran dan perparitan.
“Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal pada pukul 4.45 petang,” katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi empat minit 25 saat yang dikongsikan pengguna media sosial memaparkan kakitangan hospital itu sedang berusaha membawa keluar barangan dan peralatan hospital selain kenderaan seperti motosikal daripada bangunan yang dinaiki air.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor Bahru memaklumkan hujan lebat berterusan melebihi dua jam menyebabkan banjir.
“Paras air di kawasan berkenaan juga telah surut sepenuhnya.
“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” ujarnya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon turut datang sendiri akan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan itu.- MalaysiaGazette
















