JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak dalam Ops Sapu di sekitar Ulu Tiram di sini tengah malam tadi.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan bermula pukul 12 tengah malam itu menahan 81 penghuni di beberapa rumah teres dan rumah kedai yang disyaki menjadi penempatan warga asing diperiksa.
Keseluruhan tangkapan terdiri daripada 13 lelaki Indonesia, 12 lelaki Myanmar, empat lelaki Bangladesh, 10 wanita Indonesia, empat wanita Myanmar, seorang lelaki Nepal serta dua kanak-kanak perempuan Indonesia berusia dua dan enam tahun.
“Mereka yang berusia antara dua hingga 50 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata, JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI, selain menghargai kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat.- MalaysiaGazette
















