LONDON – Bekas penyerang Leicester City, Jamie Vardy meneruskan penggembaraannya dalam dunia bola sepak apabila menyertai Cremonese di Serie A pada usia 38 tahun.
Vardy menandatangani kontrak setahun dengan pilihan lanjutan jika kelab yang baru naik divisyen itu kekal di Serie A selepas 13 tahun bersama Leicester.
Pemenang Liga Perdana Inggeris 2016 mengakui inspirasi masa kecilnya menonton Serie A di televisyen turut mempengaruhi keputusannya.
Vardy menyertai kelompok bintang veteran yang berpindah ke Itali musim panas ini, termasuk Kevin De Bruyne (Napoli) dan Luka Modric (AC Milan), yang baru menyambut ulang tahun ke-40.
Cremonese kini mengejutkan ramai apabila memulakan musim dengan enam mata daripada dua perlawanan iaitu setanding dengan juara bertahan Napoli,
Cremonese dijadualkan menentang Verona pada Isnin ini iaitu perlawanan yang mungkin menyaksikan Vardy membuat penampilan sulung di Serie A.
Vardy mula mencipta nama bukan dari akademi ternama tetapi dari kelab kecil Stocksbridge Park Steels sambil bekerja di kilang.
Dia kemudiannya berhijrah ke Halifax Town dan Fleetwood Town, sebelum mencipta kejutan apabila dibeli oleh Leicester City pada tahun 2012 dengan nilai £1 juta iaitu rekod ketika itu bagi pemain bukan liga profesional.
Sepanjang kariernya, Vardy telah menjelma sebagai ikon Leicester kerana terkenal dengan semangat juang, kelajuan serta naluri pemusnah di hadapan gol.
Sepanjang kariernya bersama Leicester, Vardy telah menjaringkan 198 gol dalam 496 penampilan iaitu rekod luar biasa yang menjadikannya antara legenda terhebat kelab tersebut.
Dia memainkan peranan penting dalam kejayaan bersejarah Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris musim 2015/16, termasuk mencipta rekod menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut. – Agensi
















