KUALA LUMPUR – Seramai 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut bakal memeriahkan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.
Turut terlibat 1,111 peserta selawat yang dihimpunkan dalam program Selawat Perdana menerusi segmen Malam Kerohanian selain diadakan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah, Ustazah Asma’ Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.
Wakil penganjur, Muhammad Nazrin Mohamad Isa merangkap koordinator KC Fest berkata, lebih 30 selebriti akan turut memeriahkan festival itu bagi memainkan peranan menarik orang ramai dengan sasaran 50,000 pengunjung sepanjang empat hari berlangsung.
Antara selebriti yang bakal menjayakan KC Fest ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid dan Bob Sentuhan.
“Karnival ini juga merupakan program amal dan kami rasa berbesar hati apabila ramai selebriti yang sudi menyokong kerana mereka boleh menggunakan bakat dan populariti untuk menggalakkan masyarakat supaya mengambil bahagian.
“Sebagai penganjur, pemilihan artis juga dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.
“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah bagi memastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KC Fest 2025 adalah anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group yang menggunakan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’.
Selain persembahan artis dan 100 gerai jualan yang ditawarkan, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik lain. Antaranya Kelate Charity Walk yang turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan untuk turun padang berjalan bersama rakyat.
Program keluarga turut disediakan seperti persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur dan push bike untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin berkata, KC Fest 2025 akan turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan daripada pihak penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Beliau yang juga pengasas Madoo Bee berkata, KC Fest adalah satu tanggungjawab sosial dan tanda prihatin mereka untuk terus membantu golongan asnaf atau yang memerlukan.
“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat di mana kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan gerai jualan dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026 dengan sasaran sebanyak RM500,000.
“Hasil daripada festival ini akan disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.
Kamal Azmi turut menjelaskan tentang pemilihan lokasi di Kelantan untuk acara amal itu kerana negeri itu kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang sangat kuat.
“KC Fest 2025 sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar.
“Ini kerana Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.
“Kita mahu Kelantan menjadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas sekaligus memperkenalkan budaya negeri ini yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya yang juga berharap KC Fest ini menjadi satu lambang kekukuhan perpaduan rakyat. – MalaysiaGazette















