ALOR SETAR – Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-71 bakal menampilkan barisan pasukan kepimpinan dan jenteranya bagi menghadapi beberapa pilihan raya sama ada di Sabah, Melaka, Johor mahupun Pusat.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, ia menjadi platform penting untuk memastikan parti Islam itu terus menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam pembentukan kerajaan akan datang.
Menurutnya, Muktamar Pas kali ini mempunyai kelainan dengan menampilkan barisan pasukan untuk berhadapan dengan pilihan raya, sama ada Sabah, Melaka, Johor, mungkin sampai ke pilihan raya umum.
“Saya yakin perwakilan-perwakilan telah bersedia untuk berbahas untuk mencari idea-idea segar, memberi pandangan, respon supaya kita bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya yang lebih bergaya.
“Kita menyaksikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas menjadi pilihan bukannya setakat rakyat Malaysia, malah hampir 48 peratus atau separuh daripada pengundi anak muda memilih Perikatan Nasional (PN) dan Pas.
“Saya yakin perbahasan kali ini melihat kepada kepincangan yang berada dalam kerajaan, cabaran politik dan ekonomi yang sangat tidak terkawal pada hari ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Terdahulu Nadzir melakukan tinjauan persiapan akhir Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 yang akan bermula jam 8 malam ini.
Selain itu, kata Nadzir, walaupun ramai pimpinan Pas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti kali ini, namun mereka mengejar jawatan semata-mata kerana tanggungjawab kepada rakyat perlu diutamakan.
“Tapi tak ramai perasaan muktamar kali ini ada pemilihan. Bagi setengah parti politik, pemilihan ni adalah satu ruang untuk menonjolkan persaingan dan sebagainya, tapi tidak bagi Pas.
“Pemilihan ini hanyalah salah satu agenda untuk memenuhi lunas tanggungjawab sebagai sebuah organisasi yang berdaftar. Tidaklah nak bersaing siapa nak memegang jawatan dan sebagainya.
“Kami berjuang bukan semata-mata untuk mengejar jawatan, tapi tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk memperjuangkan apa yang diperlukan dalam agama dan rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















